Coretan

Tajuk D - Kemurahan Hati Orang Bertakwa
Tarikh 12-Jun-2006
  IAITU orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa susah dan senang, orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik. (Ali-Imran: 134)

Huraian

Allah s.w.t. menjelaskan beberapa ciri orang bertakwa yang disediakan bagi mereka syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi.

Mereka ialah orang yang mendermakan hartanya sama ada pada masa senang dan susah, sihat atau sakit, sama ada banyak atau sedikit harta mereka pada waktu malam dan siang dengan cara sulit atau terang-terangan.

Ciri kedua ialah orang yang apabila berasa marah, mereka dapat menahannya dan menyembunyikan kemarahan tersebut. Sedangkan mereka mampu melepaskan kemarahan itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bukannya kekuatan itu dilihat daripada pergaduhan (gusti) tetapi kekuatan adalah pada orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.”

Cara menahan kemarahan adalah dengan berwuduk seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa marah itu datang daripada syaitan dan syaitan daripada api dan api dipadam dengan air. Maka apabila seseorang daripada kamu berasa marah hendaklah ia mengambil wuduk.

Ketiga ialah orang yang memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap mereka sedangkan mereka mampu untuk membalas dan bertindak atas kesalahan tersebut. Ini adalah suatu yang sukar untuk dilakukan kerana ia memerlukan kawalan terhadap diri, perasaan dan fikiran. Semua itu adalah kerana Allah s.w.t. mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Kesimpulan

Sebagai orang Islam kita seharusnya menghiasi diri kita dengan ciri orang yang bertakwa iaitu membelanjakan (derma) harta semasa senang atau susah, menahan kemarahan diri dan bersedia memaafkan kesalahan orang lain. Semoga dengan itu kita akan memperoleh syurga yang disediakan untuk hamba-hamba-Nya yang bertakwa.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).