Coretan
| Tajuk | D - Syurga - Mengapa Ramai Yang Enggan Ke Sana? |
|---|---|
| Tarikh | 12-Jun-2006 |
| ABU Hurairah menyebut sebuah hadis, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Semua umatku itu dapat memasuki syurga, kecuali orang yang enggan." Lalu baginda ditanya: "Siapakah orang yang enggan itu, ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Barangsiapa yang taat kepadaku, maka ia dapat memasuki syurga dan barangsiapa yang menyalahi ajaranku, maka dialah orang yang benar-benar enggan." (Riwayat Bukhari). Pada hakikatnya tiada seorang pun yang waras fikirannya enggan masuk syurga, malah yang bermati-matian diburu di dunia ini, tidak lain ialah syurga kehidupan yang dinamakan syurga dunia tetapi orang yang disangka waras itu akan menjadi tidak waras apabila menafikan syurga akhirat lantaran memburu syurga dunia. Fuqaha mengingatkan "berhati-hatilah terhadap dunia kerana ramai manusia menjadi kelkatu yang memburu api untuk menguasainya tetapi ternyata kelkatu itulah yang akhirnya mati kehangusan." Islam tidak melarang memiliki harta dan kekayaan, sebab harta kekayaan itu diperlukan untuk pembangunan individu, ummah dan menegakkan ad-din Allah dan syiar agama Islam. Bagaimanapun, kekayaan yang diperoleh itu hendaklah sejalan dengan kehendak syarak dan dibelanjakan selaras dengan tuntutan Allah. Imam Malik r.a. yang terkenal kerana warak dan sifat zuhudnya, pada suatu hari didatangi oleh serombongan utusan untuk menyampaikan pemberian daripada Khalifah. Sejak itu, rumahnya yang dahulunya tiada pembantu kecuali murid-muridnya, kini ada beberapa orang khadam. Begitu juga peralatan dan perabut bertukar yang baru. Sikap Imam Malik ini dicemuh oleh orang ramai terutama beberapa ulama yang sezaman dengannya. Cemuhan itu dijawab oleh Imam Malik dengan menyebutkan ayat 32 surah al-A'raf yang bermaksud: "Katakanlah: Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?'' Lalu pertanyaannya ialah siapakah yang dikatakan umat Islam yang enggan memasuki syurga itu? Pertanyaan ini dijawab oleh Rasulullah s.a.w. "ialah yang menyalahi ajaranku." yakni umat Islam yang pada zahirnya berpakaian Islam tetapi mulut, hati dan amalannya tidak menepati kehendak ajaran Islam. Menggambarkan peri kehidupan umat Islam yang enggan masuk syurga ini, marilah kita kutip beberapa contoh daripada kehidupan umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. sendiri, antaranya kisah Kirkirah yang disahkan masuk neraka oleh Rasulullah s.a.w., hadis tersebut diterima daripada Abdullah Amr al-`Ash, katanya: "Adalah tanggungan ke atas Nabi s.a.w. itu seorang lelaki yang bernama Kirkirah, kemudian ia meninggal dunia. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Ia masuk neraka.'' Para sahabat lalu mendatangi rumah Kirkirah (ingin tahu puncanya masuk neraka), kemudian mereka menemukan sehelai baju kurung hasil rampasan perang (yang seharusnya diserahkan untuk diagihkan kepada yang berhak)" (Riwayat Bukhari). Terdapat beberapa hadis lain yang menyebutkan beberapa orang syuhada (mati syahid kerana perang membela Islam) tetapi dilemparkan ke neraka lantaran menyembunyikan harta rampasan. Pengajaran daripada pelbagai peristiwa seumpama ini ialah "penipuan terhadap harta awam umat Islam walau pun sedikit atau pun terlalu kecil, maka tempatnya ialah di neraka". Sebuah hadis lain menyebutkan tentang status pekerja yang mencuri harta awam atau melalaikan tugas yang diamanahkan kepadanya adalah seorang pengkhianat, walaupun yang dicurinya itu sebatang jarum. Lengkapnya, hadis itu berbunyi sebagaimana berikut, daripada Adi bin Amirah, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa di antara kalian yang diamanahkan sebagai petugas sesuatu urusan, kemudian ia menyembunyikan sebatang jarum (apatah lagi yang lebih besar daripada jarum itu), maka perbuatannya itu adalah pengkhianatan yang akan dibawanya pada hari kiamat." (Riwayat Muslim). Pengajarannya ialah penyelewengan yang dianggap kecil apatah lagi yang lebih berat daripada itu seperti penggelapan harta (rasuah), penyalahgunaan kuasa, menipu majikan, tidak bertanggung jawab dan yang seumpamanya tentulah mendapat tempat paling buruk di akhirat kelak. Lebih tegas mengenai rasuah dikatakan "pemberi rasuah dan penerima rasuah, sama-sama dalam neraka." Malah hadiah atau pemberi kepada pegawai yang bertugas juga dilarang. Kisah Ibnul Lutbiyah sebagai contoh. Daripada Abdur Rahman Sa'ad as-Sai'di r.a., katanya: "Nabi s.a.w. melantik seorang lelaki bani al-Azad sebagai petugas baitul mal di suatu daerah. Lelaki itu, Ibnul Lutbiyah kembali menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Ini adalah untuk Tuan dan yang ini dihadiahkan kepadaku." Rasulullah s.a.w. lalu berdiri di atas mimbar, bertahmid serta memuji Allah kemudian bersabda: "Amma ba'du. Sesungguhnya saya telah menugaskan salah seorang di antara kalian untuk satu tugas daripada pelbagai tugas yang diserahkan Allah kepadaku. Lalu ia kembali dan berkata: "Ini adalah untuk Tuan dan yang ini dihadiahkan kepadaku." Sekiranya ia duduk saja di rumah ayah atau ibunya, apakah akan ada hadiah diberikan kepadanya, jika benar ia sungguh-sungguh melaksanakannya. Demi Allah, tiada satu pun yang diambil daripada seseorang itu yang bukan haknya, melainkan ia akan menemui Allah Taala bersama barang itu pada hari kiamat. Sesungguhnya, saya tidak akan mengenali umatku yang menemui Allah bersama (rasuah) seekor unta yang bersuara, atau lembu yang menguak atau kambing yang mengembek." Selanjutnya baginda s.a.w. mengangkat kedua tangannya hingga kelihatan putih ketiaknya itu lalu bersabda: "Ya Allah, bukankah telah saya sampaikan." (Muttafaq 'alaih). Khalifah Umar Ibnu Aziz, seorang khalifah yang zuhud dan sangat menjaga amanah yang dipikulnya sehinggakan dalam satu riwayat disebutkan bagaimana beliau memadam pelita di pejabatnya ketika anaknya datang dan bertanyakan perkara yang bersifat peribadi yang bukan urusan negara. Sifat amanah inilah yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya bermula daripada benda yang kecil walaupun sebatang jarum kerana apabila sifat tersebut lenyap atau dianggap remeh, maka urusan lain yang lebih besar akan tergendala dan rosaklah pembinaan bangsa dan negara. Hari ini kita melihat banyak kejadian 'tidak amanah' dilakukan secara berleluasa. Hadir ke pejabat tidak pada waktunya, menggunakan kertas atau sampul bukan untuk urusan rasmi, lampu pejabat yang dibiarkan terpasang sepanjang masa, menggunakan telefon pejabat untuk urusan peribadi, menconteng tembok dengan kata-kata lucah, membuang sampah merata-rata, merokok di tempat yang tidak dibenarkan, serta pelbagai contoh lain yang memperlihatkan pekerti tidak amanah. Dosa-dosa kecil ini kemudiannya ditambah dan bertambah dengan perbuatan-perbuatan keji dan menentang Allah. Ditambah dengan rasuah, pengkhianatan, dusta, mencuri, zina, sihir dan bomoh serta akhirnya syirik. Rasulullah s.a.w. bersabda, katanya: "Sesungguhnya, jika seorang mukmin melakukan dosa, berbekaslah titik hitam di hatinya. Jika ia berhenti, bertaubat, dan mohon ampun, maka hatinya akan kembali bersih. Namun, jika ia terus menambah dosa, maka bertambahlah titik hitam itu, hingga terkuncilah hatinya." Daripada Anas ra. berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jikalau Allah menghendaki kebaikan pada seseorang hamba-Nya, maka ia mempercepatkan sesuatu seksaan (cubaan) sewaktu di dunia tetapi jika Allah menghendaki keburukan pada seseorang hamba-Nya, maka orang itu dibiarkan sajalah dengan dosanya sehingga akan dipenuhi balasannya kelak pada hari kiamat." Imam Syafie memberikan petua: "Jika dua perkara menghalangimu sedangkan engkau tidak tahu mana yang benar, maka telitilah mana yang lebih dekat kepada nafsumu, inilah yang perlu engkau tinggalkan kerana ia akan menghantarmu ke neraka." Khalifah Umar Ibnu Khattab memberi nasihat: "Tundukkan nafsumu itu. Ia jahat, menyeretmu ke dalam keburukan. Sedangkan kebenaran itu berat di hati, sebaliknya yang jahat itu ringan. Luqman al-Hakim berkata kepada anaknya: "Wahai anakku! pertama yang mesti kuperingatkan ialah setiap orang itu ada nafsu syahwatnya (termasuk kehendak-kehendak dunia dan harta). Jika kamu turuti dia, maka ia akan meminta yang lain. Sesungguhnya syahwat itu bersembunyi dalam hati seperti tersembunyinya api dalam sekam. Jika dibakar akan marak menyala sebaliknya jika engkau tinggalkan akhirnya ia akan padam juga." Akhirnya ialah kisah dan ikhtibar daripada Tsa'labah. Kekayaan telah menutup mati hatinya terhadap kewajipan agama iaitu solat jemaah dan zakat kerana terlalu leka menguruskan kambing-kambingnya yang banyak. Kemudian timbul pula rasa sayang dan tamak terhadap hartanya untuk dikeluarkan zakat, sehingga turunlah ayat At-Taubah: 75 - 77 yang bermaksud: "Di antara mereka itu ada yang telah berjanji terhadap Allah. Demi sesungguhnya, jika Dia memberi kurnia kepada kami, nescaya kami akan bersedekah dan kami ini termasuk orang-orang yang soleh. Apabila Allah mengurniai mereka (dengan kurnia yang banyak) sebaliknya mereka menjadi bakhil dan berpaling. Lalu Allah jadikan sifat munafik dalam hatinya sebagai akibat yang buruk, sehingga pada hari mereka menemui-Nya kelak, disebabkan mereka berdusta dan tidak menepati janji." Seorang sahabat nabi s.a.w. Abdul Rahman bin Auf juga kaya raya melalui perniagaan tetapi berbeza dengan Tsa'labah. Malah diriwayatkan Abdul Rahman termasuk salah seorang yang dijanjikan syurga. Kekayaan tidak menjadikannya orang yang enggan masuk syurga. Lantaran itu, kenapa pekerti Tsa'labah justeru ramai yang mengikutinya? Oleh Abu Nur Ibnu Rahman, Bicara Agama, Utusan Malaysia |