Coretan
| Tajuk | A - Urutan bukan sekadar seksual |
|---|---|
| Tarikh | 12-Jun-2006 |
| TANGAN, dipercayai `alat' paling penting pernah digunakan oleh sebahagian besar pengamal perubatan di seluruh dunia, pada peringkat awal kemunculan bidang perubatan di dunia ini. Meskipun, tidak diketahui sejauh manakah benarnya dakwaan ini, `sentuhan tangan manusia', telah diterima pakai oleh hampir sebahagian besar masyarakat dan budaya sejak berabad-abad lamanya itu mempunyai kuasa `penawar' paling berkesan. Tetapi, hari ini setelah wujudnya kaedah mendiagnos penyakit, peralatan dan kelengkapan perubatan serba moden dan canggih, amalan tradisi ini dipercayai hampir pupus. Satu-satunya cara bagi mengelakkan amalan ini terus hilang ditelan masa, maka wujudlah satu budaya baru yang dikenali sebagai terapi urutan. Menurut ceritanya, terapi seumpama ini digunakan untuk melegakan kesakitan akibat kecederaan atau masalah kesihatan yang akut atau kronik. Tekanan, akibat rutin harian juga dipercayai boleh `hilang' hanya dengan urutan. Sesetengah kajian mendakwa, urutan yang dilakukan dengan teknik yang betul boleh menurunkan kadar degupan jantung, merendahkan tekanan darah, meningkatkan aliran darah, merehatkan otot-otot dan sebagainya. Ini kerana, terapi ini melibatkan penggunaan tangan secara keseluruhan. Selain itu, ada kalanya ia membabitkan genggaman jari, siku dan kaki pada tisu-tisu lembut tubuh. Keistimewaan terapi ini bukan sekadar memberi kesan pada fizikal individu yang diurut, tetapi juga kesan psikologi secara langsung. Lebih-lebih lagi, jika individu yang mengurut dan diurut mempunyai pertalian seperti hubungan suami isteri atau antara ibu dan anak. Ada dakwaan mengatakan, terapi urutan ini jika kena dengan caranya, ia boleh merapatkan jurang hubungan antara suami isteri. Sejauh manakah kebenarannya, tidak dapat dipastikan kerana di kalangan pengamal-pengamal perubatan moden hari ini, mereka mempunyai pandangan tersendiri. Ada yang berpendapat, terapi urutan merupakan salah satu kaedah relaksasi untuk melegakan tekanan. Selain mengurut, yoga, meditasi, reiki dan lain-lain kaedah alternatif juga boleh membantu merehatkan tubuh dan minda yang tegang. ``Dalam konteks hubungan suami isteri urutan yang dilakukan dengan tujuan bercumbuan sebelum melakukan hubungan kelamin, ia memang ada kesan tersendiri. ``Urutan yang membabitkan `sentuhan' istimewa di antara pasangan suami isteri memang mempunyai impak positif dan menakjubkan. ``Ini kerana ia banyak dipengaruhi ikatan emosi yang telah sedia wujud pada mereka,'' kata Pakar Psikologi, Unit Penyelidikan Pembangunan Kesihatan (HERDU), Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Sarinah Low Abdullah, ketika ditemui baru-baru ini. Bagaimanapun, impak positif hasil `sentuhan manusia' ini seharusnya tidak dilihat dalam bentuk urutan untuk seksual saja. Sentuhan, dalam bentuk pelukan, sama ada antara suami isteri atau ibu bapa kepada anak-anak tidak seharusnya dipandang ringan. ``Pelukan itu sendiri sudah memberi makna yang cukup besar lebih dari kata-kata. Ia mampu membangkitkan kemesraan, ikatan yang kukuh, dan kepada anak-anak, mereka berasa seolah-olah sentiasa mendapat perlindungan,'' jelasnya. Uniknya, bentuk sentuhan ini, kata Sarinah, ia adalah satu perlakuan yang tidak memerlukan satu sen pun bayaran. ``Melalui pemerhatian saya, budaya ini lebih diamalkan oleh masyarakat Melayu, seperti anak-anak bersalam dengan ibu bapa atau isteri mencium tangan suami mereka. ``Begitu juga dengan ibu bapa yang memeluk anak mereka di hadapan orang lain sebagai cara melahirkan kasih sayang,'' jelasnya. Malangnya, kata beliau, amalan seperti ini tidak begitu ketara di kalangan masyarakat Cina. Masyarakat Cina, generasi lama terutamanya menurut Sarinah, masih belum begitu terbuka menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak seperti masyarakat Melayu. Terapi urutan agak popular lebih-lebih lagi di kalangan lelaki Melayu yang menghadapi masalah mati pucuk. ``Berdasarkan kajian yang saya lakukan, memang benar sebahagian besar lelaki Melayu yang menghadapi masalah mati pucuk memilih untuk mengurut zakar mereka berbanding berjumpa doktor. ``Golongan ini terlalu skeptikal terhadap ubat-ubatan moden yang sedia ada, kerana bimbangkan kesan sampingannya,'' katanya. Malah, lebih ramai yang rela bertemu bomoh, dukun atau pawang untuk memberi penawar kepada `masalah' yang dihadapi. Sebahagian besar lelaki malu untuk berbincang secara terbuka dengan doktor berhubung masalah seksual mereka kerana doktor akan bertanya bermacam-macam soalan. Sedangkan, bomoh tidak akan `bertanya apa-apa'. Menurut Sarinah, mereka terlalu percayakan `kuasa penyembuhan' luar biasa terapi urutan, sekalipun kesannya hanya sementara. Sekalipun, mengurut tidak memberi sebarang jaminan untuk mengatasi masalah mati pucuk, tetapi ramai yang melakukannya kerana terdesak. Sarinah mengakui, amalan berurut di kalangan wanita Melayu selepas melahirkan anak, menjadi ikutan masyarakat Cina pada hari ini. Ini kerana, ramai wanita Melayu yang mengurut tubuh selepas bersalin berjaya mengekalkan kelangsingan tubuh. Sarinah juga menolak dakwaan urutan adalah `rahsia' untuk mengekalkan hubungan suami isteri. Katanya, sekalipun seorang isteri itu memiliki kemahiran mengurut, tetapi tidak pandai menjaga kebersihan diri, memasak, menguruskan rumah tangga dan sebagainya tidak ada ertinya. ``Saya percaya, resipi rumah tangga yang bahagia memerlukan pakej. Ia merangkumi banyak aspek dan pelbagai sudut. Mengurut itu hanya sebahagian kecil. ``Jika seseorang wanita itu bijak memenangi hati suami, `kuasa' daripada memasak masakan yang sedap mungkin lebih berkesan daripada mengurut,'' jelasnya. Sehubungan itu, kata beliau apabila wanita berlumba-lumba ingin mempelajari teknik mengurut yang kononnya dapat menambat hati suami, ia adalah refleks kepada sesuatu yang dipendam selama ini. Wanita, sebetulnya masih `waswas' dengan kejujuran suami, bimbang kemungkinan suami berkahwin lagi. Sementara itu, Pakar Bedah Ortopedik, Jabatan Ortopedik, Kampus Kesihatan, Pusat Pengajian Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Profesor Dr. Zulmi Wan berpendapat dunia perubatan moden tidak menghalang amalan tradisi ini selagi ia disesuaikan dengan keadaan. ``Ahli-ahli fisioterapi memang ada menggunakan cara ini untuk membantu pesakit-pesakit, tetapi dalam keadaan tertentu mengurut `dilarang' sama sekali. ``Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengalami kepatahan, jika tersilap tekan ia boleh mengakibatkan keadaan menjadi lebih serius seperti bengkak atau pendarahan,''katanya ketika dihubungi. Zulmi Wan, menjelaskan, individu yang diurut biasanya terasa lebih segar kerana aliran darah yang semakin lancar. Kepada mereka yang sakit kepala, amalan mengurut antara kaedah yang kerap dilakukan untuk meredakan kesakitan atau ketegangan akibat tekanan. ``Saintis percaya, di tempurung kepala terdapat satu lapisan otot-otot yang nipis seperti kulit yang menyebabkan sakit kepala atau migrain. ``Tetapi dengan teknik urutan yang betul ketegangan kepala ini dapat ditangani, malah mungkin lebih baik dari ubat-ubatan yang ada,'' kata Pakar Perunding Kanan Neurologi dan Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Raymond Azman Ali. Tetapi, urut juga tidak boleh dilakukan sembarangan. Urut yang dilakukan pada bahagian perut, misalnya amat berbahaya. ``Ada kes di mana bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat mendapati usus mangsa putus dan organ tersebut mati kerana ketiadaan bekalan darah (gangren) akibat diurut dengan kuat. ``Begitu juga urutan pada leher, tersilap urut ia boleh mengakibatkan tulang vertebra beralih dari kedudukan dan menimbulkan komplikasi berbahaya,'' ujarnya. Atas alasan tersebutlah, Raymond ketika dihubungi menasihatkan mereka yang ingin mengurut perlu memahami dan mempelajari anatomi tubuh manusia. Begitu juga dengan suntikan, bukan semua bahagian tubuh boleh disuntik sesuka hati. ``Jika terkena saraf, ia boleh mengakibatkan lumpuh,'' jelas beliau. Mengulas dakwaan mengurut boleh mengeluarkan angin yang terkumpul dalam tubuh, Raymond menegaskan ia hanyalah satu kesan psikologi. ``Berdasarkan ilmu sains, angin hanya terdapat dalam perut, bukan pada bawah kulit, aliran darah, kepala, tulang dan sebagainya. ``Jadi, masyarakat perubatan tidak fikir mereka yang sendawa setiap kali diurut itu bahawa angin telah keluar. Secara logiknya, tidak ada kaitan antara angin dalam kepala dikeluarkan melalui mulut,'' katanya. Oleh Najibah Hassan |