Coretan

Tajuk C - Kehebatan Surah Al-Fatihah
Tarikh 9-Jun-2006
  AL-FATIHAH adalah surah pertama yang diturunkan dengan lengkap tujuh ayat
sekali gus kepada Rasulullah.

Ia dinamakan 'Ummul Quran" yang bermaksud induk al-Quran atau "Ummul Kitab" yang bermaksud induk kitab. Ini kerana ia adalah induk atau ibu bagi semua isi al-Quran serta menjadi inti sari daripada kandungan al-Quran. Oleh itu, surah ini wajib dibaca dalam solat.

Al-Fatihah bermakna pembukaan, sesuai dengan kedudukannya sebagai surah
pertama dalam al-Quran. Al-Fatihah termasuk dalam golongan ayat Makkiyyah
kerana diturunkan di Makkah.

Surah al-Fatihah dimulakan dengan kalimah 'Bismillah' yang bermaksud dengan nama Allah. Sabda Rasulullah, maksudnya:
"Setiap sesuatu kebaikan yang dimulai dengan Bismillah akan mendatangkan
berkat. Manakala lafaz 'Allah' pula adalah nama zat Yang Maha Suci, yang
berhak disembah dengan sebenar-benarnya, tidak memerlukan makhluknya tetapi makhluk yang berhajat kepada-Nya."

Dalam ayat pertama Surah Al-Fatihah juga ada kalimah 'Ar Rahman' yang bermaksud Maha Pemurah. Ar Rahman adalah salah satu daripada nama Allah yang memberi pengertian bahawa Allah itu adalah tuhan Yang Amat Pemurah yang melimpahkan kurnia kepada setiap makhluk-Nya.

Kalimah Ar Rahim pula bermaksud Maha Penyayang atau Maha Pengasih, memberi pengertian bahawa Allah sentiasa bersifat rahmat (kasih sayang) yang menyebabkan Allah selalu melimpahkan rahmat kepada makhluk-Nya.

Mengikut sesetengah ahli tafsir, Ar Rahman dan Ar Rahim adalah daripada kalimah yang sama ertinya itu 'rahmah' yang bermakna kasih sayang atau kasihan. Sesetengah ahli tafsir menyatakan bahawa Ar Rahman maknanya Allah mengasihi seluruh hamba-Nya baik mukmin atau kafir. Lalu dikurniakan
kepada mereka rezeki dan nikmat di dunia ini, sekiranya mereka berusaha. Ar Rahim' pula hanya untuk orang mukmin di mana kasih Allah kepada mereka mengatasi yang lain, malah untuk mereka nikmat yang bukan saja di dunia malah berpanjangan di akhir.
Menurut Syeikh Mohammad Abduh Dum, Ar Rahman bermakna pemberi Rahmat,
manakala Ar Rahim bermakna pemilik Rahmat.

Surah al-Fatihah mempunyai banyak kelebihannya. Di antara hadis yang memperkatakan kelebihannya ialah:-

* "Surah Al-Fatihah adalah UBAT PENAWAR daripada segala penyakit dan penawar daripada racun."

* "Apabila selesai imam membaca surah Al-Fatihah, hendaklah kamu mengucapkan
"amin", nescaya permintaan kamu akan diperkenankan."

* "Barang siapa datang ke suatu tempat dan mendengar orang membaca surah
al-Fatihah dari awal surahnya hingga ke akhir, nescaya dia memperoleh
ganjaran pahala seumpama orang yang berperang di jalan Allah."

* "Sesiapa yang membaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas ketika pulang ke
rumah, nescaya terhindar daripada kefakiran dan kepapaan serta mendapat
banyak kebajikan di rumahnya."

Suatu ketika Rasulullah berjalan-jalan dengan Abi Zaid di sebuah jalan di
kota Madinah, tiba-tiba terdengar suara seorang lelaki membaca surah
Al-Fatihah, lantas baginda bersabda, maksudnya:

"Kita berhenti dan dengar bacaannya hingga selesai."

Sekian