Maklumat Ayat
| Surah | Ar-Rahman |
|---|---|
| Ayat | 1-78 |
| Audio | Dengar | Simpan |
![]() [1] (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. [2] Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. [3] Dialah yang telah menciptakan manusia. [4] Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. [5] Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu. [6] Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya. [7] Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. [8] Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. [9] Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. [10] Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain. [11] Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang. [12]Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum. ![]() [13] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? [14] Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar. [15] Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang. [16] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [17] (Dialah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat. [18] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [19] Dia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. [20] Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya. [21] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [22] Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan. [23] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? ![]() [24] Dan Dialah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang. [25] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [26] Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. [27] Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. [28] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [29] Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Dia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)! [30] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [31] Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin! [32] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? ![]() [33] Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)! [34] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [35] Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu). [36] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [37] Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak. [38] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan? [39] Pada masa itu tiada sesiapapun, samada manusia atau jin yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya). [40] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? ![]() [41] Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke Neraka). [42] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [43] (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah Neraka Jahanam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya. [44] Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api Neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya! [45] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [46] Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga. [47] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [48] (Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan. [49] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [50] Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua mata air yang mengalir. [51] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan. [52] Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa). ![]() [53] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [54] Mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya dari sutera tebal yang bersulam dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik. [55] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [56] Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin. [57] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [58] Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan. [59] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [60] Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga? [61] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [62] Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang kedua). [63]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? ![]() [64] Kedua-duanya menghijau subur tanamannya. [65] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [66] Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua mata air yang terus menerus memancutkan airnya. [67] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [68] Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima. [69] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [70] Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya. [71] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [72] Dia itu bidadari-bidadari yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing. [73] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [74](Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin. [75]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [76]Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah. ![]() [77] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [78] Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. |